Friday, June 3, 2011

Sejarah Di Bulan Rejab

Tahukah anda, REJAB merupakan bulan yang sangat mulia ertinya di sisi ALLAH. Hari ini merupakan 1 Rejab bersamaan 1432 hijrah di mana pelbagai sejarah-sejarah islam yang tercatat di dalam bulan ini. Ingin memanjangkan artikel ini,bulan rejab merupakan bulan yang ketujuh dalam kalendar islam. Ia dinamakan Rejab kerana orang-orang Arab pada zaman jahiliah memuliakan bulan ini lantas mengharamkan apa jua bentuk peperangan pada bulan ini. Di antara kabilah Arab yang ekstrem dalam mengagungkan bulan Rejab ini adalah bani Mudhar. REJAB merupakan salah satu bulan yang di muliakan ALLAH dari empat bulan dalam kalendar islam sepertimana firmannya dalam Surah At-taubah (9) : 36 yang bermaksud -

 Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.

Jika firman-Nya di atas hanya menunjukkan terdapat empat bulan yang dihormati dalam setahun maka sabda Nabi s.a.w. ini memperincikan lagi tentang nama bulan-bulan tersebut:

Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan-bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu bulan-bulan Dzulqaedah, Dzulhijjah dan Muharram. Bulan Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Sya’ban. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, 


Bagi umat islam umumnya,hendaklah kita memperingati dan memuliakan bulan REJAB ini sempena peristiwa Israk dan Mi'raj. 

Antara peristiwa- peristiwa penting dalam bulan REJAB ini ialah : 


1. Hijrah Pertama.

Hijrah ke Habsyah (etiophia) pihak musyrikin Makkah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulallah S.A.W dan pengikutNya pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu derita yang mereka tanggung kepada Rasulallah. Lalu Rasulallah memerintahkan agar mereka berhijrah ke Habsyah. Hijrah ini bertujuan untuk menyelamatkan iman dan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Habsyah di pilih kerana sikap rajanya yang dikenali dengan Toleransi dan terbuka pemikirannya. Di antara mereka yang berhijrah ke sana ialah Saiyidina Othman RA dan isterinya Roqiyah anak Rasulallah S.A.W bersama 14 orang termasuk 4 wanita.


2. Peristiwa Israk Mi'raj.
Seperti mana yang kita ketahui,bulan rejab juga merupakan bulan kedukaan bagi baginda Nabi Muhammad S.A.W . Demikianlah Allah swt telah menghiburkan Nabi saw dengan peristiwa Israk dan Mikraj – membasuh kedukaan dan kenestapaan yang bersarang di hati Rasulullah.
Israk bererti perjalanan Nabi saw dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis di Palestin. Peristiwa ini dirakamkan dalam al-Quran, sepertimana firman Allah yang bermaksud:

            “Maha suci Allah yang telah menperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haraam (di Mekah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesunguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Q.S. Al-Israa’:1)

Mikraj pula bermaksud perjalanan baginda saw dari Masjidil Aqsa ke Sidratulmuntaha di langit ketujuh, sebagaimana digambarkan dalam al—Quran yang bermaksud:

            “Dan demi sesungguhnya! (Nabi saw) telah melihat (malaikat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi di sisi Sidartulmuntaha; yang di sisinya terletak syurga Jannatul-Makwa. Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa Sidratulmuntaha itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemendangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhan-Nya.” (Q.S. An-Najm: 13-18)

Semasa dalam perjalanan israk dan mikraj ini Nabi saw telah diperlihatkan dengan pelbagai peristiwa suka dan duka; menghibur dan menakutkan silih berganti. Nabi saw diiringi oleh Malaikat Jibril  sepanjang peristiwa Israk dan Mikraj ini (kecuali ketika Rasullah saw ke SidratulMuntaha bertemu Allah swt)). Nabi saw ditunjukkan pelbagai bentuk penyeksaan ketika meninjau neraka. Misalnya Nabi saw diperlihatkan kepada satu kaum yang memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu besar, pecah dan kemudian bertaut kembali seperti sediakala. Ini  adalah hukuman bagi mereka yang ingkar mengerjakan solat. Nabi juga melihat seksaan terhadap pemakan riba, penzina, pengumpat, pembuat fitnah dan lain-lain. Ini semua memberi peringatan agar kita menjauhinya semasa di dunia ini.
Nabi juga melihat keseronokan dan kesukaan mereka yang berada di dalam syurga. Nabi tercium bau yang semerbak daripada Mashitah, tukang sisir rambut anak Firaun.  Nabi juga melihat sekumpulan orang yang tidak putus-putus menuai hasil (tanaman)- menandakan bahawa  balasan bagi mereka yang suka menderma dan bersedekah semasa hayat mereka. Peristiwa besar dalam Israk dan Mikraj ini ialah apabila Rasulullah saw menerima perintah mengerjakan solat. Berbeza dengan ibadat lain seperi puasa, haji, zakat, ibadat solat diterima secara langsung daripada Allah swt.

Sesungguhnya peristiwa yang berlaku ke atas Nabi saw ini mencetuskan kontroversi di kalangan  masyarakat Arab pada masa itu. Mereka tidak yakin dengan cerita Rasullah diisrak dan dimikrajkan dalam masa semalaman sahaja. Mereka menganggap itu hanyalah khayalan belaka. Bahkan tidak lebih daripada  mainan mimpi. Malah bagi mereka yang sedia memusuhi baginda saw terus melemparkan tohmahan mengatakan: Muhammad sudah gila! Mana mungkin pada akal mereka, perjalanan dari Mekah ke Palestin dengan kenderaan unta mengambil masa selama sebulan, boleh dilakukan oleh Nabi hanya semalaman sahaja.  Begitu juga mereka juga menolak dakwaan Nabi saw naik ke langit juga pada malam yang sama. Mereka memperolok-olokkan baginda saw dengan pelbagai ejekan. Mereka menolak mentah-mentah apa yang Nabi ceritakan.

Bagi orang-orang Arab yang memang menentang Nabi saw, mereka menjaja ke merata tempat peristiwa yang dianggap ganjil ini. Bagi mereka yang mula menunjukkan minat agama yang dibawa Muhammad saw, mula menjauhkan diri. Mereka yang lemah iman pula terus tertewas dan kembali kepada agama asal .Namun bagi mereka yang kuat iman, tetap tidak berganjak dan tetap mengakui kebenaran Muhammad saw. Saidina Abu Bakar sendiri tanpa ragu-ragu mengiakan apa yang Nabi saw alami. Justeru beliau digelar asSidiq (benar).

Sesungguhnya dengan kuasa Allah dan kehendakNya apa sahaja boleh berlaku. Nabi saw menggunakan kenderaan Buraq (sepantas kilat) dalam peristiwa Israk dan Mikraj ini. Sekiranya ia berlaku pada zaman ini, mungkin tidak siapa yang menganggap ia suatu yang mustahil. Dengan menggunakan kenderaan moden serta canggih seperti yang terdapat masa kini, beritahu sahaja ke mana sahaja ceruk rantau kita jelajahi tetap dipercayai, sekiranya kita berkemampuan. Dengan kemahuan dan keupayaan kita  boleh sampai ke bulan atau lain-lain planet, juga menjejak kaki ke mana-mana sahaja yang kita hajati.


3. Perang Tabuk.


Perang ini di namakan perang tabuk sempena dengan  nama satu tempat di utara semenanjung tanah arab di mana Rasulallah S.A.W berkumpul bersama tentera-tenteranya seramai 30 000 orang. Pertempuran tidak berlaku kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam pada masa itu yang sanggup menghadapi berbagai kesukaran. 


4. Pembebasan Baitulmaqdis.


Baitulmaqdis telah di buka pada zaman Saiyidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan ummat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, umat kristian (tentera salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitulmaqdis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitulmaqdis setelah 500 tahun di kuasai oleh pemerintah Islam. Tentera salib telah menduduki Baitulmaqdis hampir 60 tahun sebelum di bebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali kota suci itu dari tangan tentera salib pada hari Jumaat 27 REJAB 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H,umat yahudi pula menawan Baitulmaqdis (Palestin) dan menamakan dengan nama ISRAEL bagi negara baru mereka.


5. Kelahiran Imam Syafie RH.


Nama sebenar beliau ialah Muhammad Bin Idris. Beliau merupakan kelahiran Ghuzah,Palestin. Dia dilahirkan pada 150H bersamaan 767 masihi dalam bulan REJAB. Beliau adalah salah seorang Imam dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Feqah. Kita rakyat Malaysia mengamalkan mazhab Syafie. Di antara peninggalan beliau yang tiada ternilai harganya ialah kitab al-umm dan juga merupakan rujukan dalam hukum Fiqh pada zaman sekarang.


Marilah sama-sama kita menghayatinya dengan amalan-amalan kebaikan. Supaya beroleh keberkatan dan kenikmatan yang dijanjikan ALLAH kelak. 





2 comments:

wanadotnet said...

Allahu Robbi.....

tHaQiF said...

sekali sekala. . . :))

Post a Comment